Monday, January 11, 2010

AKAN KU TUNAIKAN HAK DIRI MU YANG TERAKHIR KE ATASKU


Saya hanya ada dua orang abang. Maka, saya hanya ada dua orang kakak ipar iaitu K Leha (sulung) dan Kak Nah (kedua).

Kakak ipar saya yang sulung ini menjadi kakak ipar saya ketika saya baru berusia enam tahun. Sejak itu, dia sering memanggil saya "adik". Manja bukan? Tetapi itulah hakikatnya sehinggalah lama kelamaan, dari "adik" bertukar kepada "makcu". Jarang beliau memanggil saya dengan nama saya. Sekarang, tiada lagi beliau yang akan memanggil saya "makcu".

Sedari kecil, saya yang tiada adik, sangat suka bermain dengan anak sulungnya. Anak saudara pertama lah katakan... Kakak ipar saya ini mengenalkan saya kerajinan tentang suatu perkara iaitu memasak. Beliau bukan sahaja sangat rajin memasak bahkan pandai memasak. Saya masih teringat tentang agar-agar tembikai istimewanya yang sering menjadi kegemaran saya itu. Beliau akan sentiasa menyediakannya terutama sewaktu kenduri perkahwinan kakak-kakak saya. Sungguh istimewa menu itu. Saya tentu akan merindui agar-agar itu. Tentu.

Sejak anak sulungnya masih kecil, beliau suka menyediakan bubur nasi ikan bilis goreng yang ditumbuk halus untuk anaknya. Saya mengagumi menu tersebut kerana anak sulungnya itu membesar dengan begitu sihat sekali. Saya berazam bila saya memiliki anak nanti, saya akan menyediakan menu yang sihat dan lazat ini untuk anak saya. Jadi, apabila mempunyai anak sendiri pada tahun 2008, saya turut meniru kaedah beliau ini. Terima kasih, Kak Leha.

Saya masih ingat, setiap kali saya datang ke rumahnya di Johor atau Muadzam Shah, beliau sering menyediakan menu yang istimewa untuk kami. Kami asyik makan sahaja di rumahnya. Benar, sekarang tentu saya tidak berpeluang lagi menikmatinya.

Beliau adalah kakak ipar saya yang menjadi ibu kepada anak-anak abang Long saya iaitu Hafizzul 23, Hafiziani 18 dan Haikal 8. Dan beliau merupakan seorang ibu yang tabah.

Kronologinya, Kak Leha disahkan menghidap barah rahim. Lalu, beliau menjalani pembuangan rahim bagi mengelakkannya merebak. Setelah itu, bermulalah rawatan moden yang pelbagai yang turut sama membawa pergi wajah ceria Kak Leha.

Saya dan suami pernah melawatnya di Hospital Melaka. Dan yang terbaru pada bulan Disember 2009 di rumah ibunya di Kg Lebak, Temerloh. Ketika itu, Kak Leha sudah nampak begitu tidak bermaya. Saya mendoakan kesihatan beliau dalam doa dan solat hajat saya.

Dan, tengahari tadi saya dimaklukmkan yang beliau baru sahaja kembali ke rahmatullah pada jam 12 tgh di Hosp Temerloh. Saya sangat terkejut. Perasaan saya bercampur baur dan saya terbayangkan wajah-wajah anak-anak saudara saya yang kehilangan ibu mereka.

Tahun 2008, saya telah kehilangan abang ipar saya yang sangat saya hormati iaitu Abang Nasir dengan meninggalkan lima orang anak yang masih kecil.
Dan, tahun 2010 saya menghadapi satu lagi kehilangan.
Semuanya apa yang telah dijanjikan Allah. Kuatkan hati kami sekeluarga, Ya Allah. Rahmatilah roh Kak Leha Ya Allah.

Al Fatehah untukmu, kakakku.

5 comments:

  1. takziah.smg rohnya bersama2 solihin....

    soalan: abang nasir tu suami kak leha kah?...kesiannya anak2 dia...

    ReplyDelete
  2. Salam pza.
    Abang Nasir adalah abang ipar yang ke pertama (suami kakak pertama). Dia bukan suami kak leha.
    Benar, sangat sedih mengenangkan anak-anak saudara yang masih kecil. Setiap kali kami datang ke rumah mereka. Mereka bagaikan tidak mahu kami balik. Bergurau dgn ayh cu (baba Izz) bagaikan teringat 'ayah' mereka yg telah pergi.

    Allah beri kami kekuatan.

    ReplyDelete
  3. innalillah wa inna ilaihi roji'un..

    ReplyDelete
  4. Askum kak..

    "Semoga Allah membesarkan pahalamu dan membaikkan kesabaranmu dan mengampunkan bagi si mati"

    Takziah buat akak sekeluarga. Terlalu banyak signboard peringatan kematian merata-rata awal tahun ini. Bagi pihak kami juga begitulah. Semoga kita mendapat tanbih yang mengesankan atas peringatan ALLAH ini.

    Semoga ahli keluarga akak bersabar dan diberi kekuatan oleh ALLAH.

    ReplyDelete
  5. Salam Sumayyah..
    Ameen atas dua.
    Mudah2an kita sentiasa tabah dan mengambil pengajaran dari peristiwa kematian ini.
    Lama dah tak dgr khabar enti.

    ReplyDelete