Monday, January 11, 2010

AKAN KU TUNAIKAN HAK DIRI MU YANG TERAKHIR KE ATASKU


Saya hanya ada dua orang abang. Maka, saya hanya ada dua orang kakak ipar iaitu K Leha (sulung) dan Kak Nah (kedua).

Kakak ipar saya yang sulung ini menjadi kakak ipar saya ketika saya baru berusia enam tahun. Sejak itu, dia sering memanggil saya "adik". Manja bukan? Tetapi itulah hakikatnya sehinggalah lama kelamaan, dari "adik" bertukar kepada "makcu". Jarang beliau memanggil saya dengan nama saya. Sekarang, tiada lagi beliau yang akan memanggil saya "makcu".

Sedari kecil, saya yang tiada adik, sangat suka bermain dengan anak sulungnya. Anak saudara pertama lah katakan... Kakak ipar saya ini mengenalkan saya kerajinan tentang suatu perkara iaitu memasak. Beliau bukan sahaja sangat rajin memasak bahkan pandai memasak. Saya masih teringat tentang agar-agar tembikai istimewanya yang sering menjadi kegemaran saya itu. Beliau akan sentiasa menyediakannya terutama sewaktu kenduri perkahwinan kakak-kakak saya. Sungguh istimewa menu itu. Saya tentu akan merindui agar-agar itu. Tentu.

Sejak anak sulungnya masih kecil, beliau suka menyediakan bubur nasi ikan bilis goreng yang ditumbuk halus untuk anaknya. Saya mengagumi menu tersebut kerana anak sulungnya itu membesar dengan begitu sihat sekali. Saya berazam bila saya memiliki anak nanti, saya akan menyediakan menu yang sihat dan lazat ini untuk anak saya. Jadi, apabila mempunyai anak sendiri pada tahun 2008, saya turut meniru kaedah beliau ini. Terima kasih, Kak Leha.

Saya masih ingat, setiap kali saya datang ke rumahnya di Johor atau Muadzam Shah, beliau sering menyediakan menu yang istimewa untuk kami. Kami asyik makan sahaja di rumahnya. Benar, sekarang tentu saya tidak berpeluang lagi menikmatinya.

Beliau adalah kakak ipar saya yang menjadi ibu kepada anak-anak abang Long saya iaitu Hafizzul 23, Hafiziani 18 dan Haikal 8. Dan beliau merupakan seorang ibu yang tabah.

Kronologinya, Kak Leha disahkan menghidap barah rahim. Lalu, beliau menjalani pembuangan rahim bagi mengelakkannya merebak. Setelah itu, bermulalah rawatan moden yang pelbagai yang turut sama membawa pergi wajah ceria Kak Leha.

Saya dan suami pernah melawatnya di Hospital Melaka. Dan yang terbaru pada bulan Disember 2009 di rumah ibunya di Kg Lebak, Temerloh. Ketika itu, Kak Leha sudah nampak begitu tidak bermaya. Saya mendoakan kesihatan beliau dalam doa dan solat hajat saya.

Dan, tengahari tadi saya dimaklukmkan yang beliau baru sahaja kembali ke rahmatullah pada jam 12 tgh di Hosp Temerloh. Saya sangat terkejut. Perasaan saya bercampur baur dan saya terbayangkan wajah-wajah anak-anak saudara saya yang kehilangan ibu mereka.

Tahun 2008, saya telah kehilangan abang ipar saya yang sangat saya hormati iaitu Abang Nasir dengan meninggalkan lima orang anak yang masih kecil.
Dan, tahun 2010 saya menghadapi satu lagi kehilangan.
Semuanya apa yang telah dijanjikan Allah. Kuatkan hati kami sekeluarga, Ya Allah. Rahmatilah roh Kak Leha Ya Allah.

Al Fatehah untukmu, kakakku.

Friday, January 8, 2010

JANJI


Saya mengetahui berita kemalangan suami Akma ini dari Ainun. Akma adalah saudara sebelah Aki (baca: ayah) saya. Akma menggelarkan Aki saya Ayah Long sementara saya memanggil ayah Akma sebagai Ayah Ngah Soh. Saya dan Akma belajar di SMAC bersama-sama. Dia junior saya setahun. Jika saya melangkah ke UIAM, Akma menyambung pengajian ke DQ dan seterusnya ke Univ Al Azhar.

Saya dijemput ke walimahnya, namun tidak berpeluang memenuhi undangannya. Saya sendiri tidak ingat bilakah kali terakhir saya menatap wajah tenangnya.

Petang tadi, lebih kurang jam 4pm, saya menerima panggilan telefon dari Kak Sham memaklumkan yang suami Akma baru kembali ke rahmatullah jam 2 petang di Hosp Selayang. Saya terkejut sambil cuba menahan sebak di dada. Innalihi wa inna ilahi rajiuun.

Sudah tiba masa yang dijanjikan Allah buat hamba yang dikasihinya. Tinggal kita yang masih hidup untuk bertafakkur mengambil pengajaran darinya. Benarlah kata-kata "cukuplah kematian sebagai peringatan".

Saya menghungi Akma menerusi adiknya, Sumayyah. Dapat berbicara dengan Akma sudah cukup meruntun jiwa saya. Akma tenang menjawab telefon. Sempat bertanya khabar saya, padahal yang saya bimbangkan adalah khabar dirinya yang berbadan dua itu.

Subhanallah... sungguh dirinya tenang dan tabah. Pinta Akma cuma satu, doakanlah arwah suaminya. Terasa saya mahu berada di sisinya untuk menunaikan tanggungjawab terakhir ini. Sungguh.

Teman-teman yang mengenali beliau, doakanlah moga Akma terus tabah dan sabar. Dan, semoga roh suaminya ditempatkan bersama orang-orang yang soleh. Ameen.

Al Fatihah.