Thursday, October 29, 2009

NI'MAT SIHAT


Isnin malam saya demam. Suami saya kata badan saya panas. Saya bangun solat dan makan ubat. Lalu, tertidur kembali.

Keesokannya, saya rasa sihat. Langsung bersiap dan ke kelas jam 8 pagi.
Usai kelas, saya membeli sarapan. Namun, terasa mahu pitam di pertengahan jalan. Alhamdulillah, kaki saya sempat menapak ke bilik rehat staff. Kawan-kawan risau melihatkan saya. Ada juga yang berspekulasi. Saya tersenyum sahaja. Sungguh saya tidak larat. Saya berehat di situ.

Setelah mengumpul tenaga, saya memanjat tangga menuju ke bilik saya di tingkat dua. Alhamdulillah, saya kembali menyambung rehat sambil menunggu si suami untuk menghantar saya ke Azzahra.

Selepas pemeriksaan, doktor mengatakan suhu badan saya tinggi manakala tekanan darah saya rendah. Mungkin sebab stress atau mungkin juga disebabkan kurang tidur. Saya akui saya kurang tidur akhir-akhir ini, tetapi tidaklah sehingga menyebabkan saya stress. Lalu, saya diberikan cuti rehat esok harinya. Doktor mencadangkan saya berehat di sick bay bahagian belakang GF dan dimasukkan air. Saya mohon untuk solat terlebih dahulu.

Selesai solat saya kembali ke sick bay. "Puan, proses ni ambil masa dalam 1 jam setengah. Puan berehatlah ye" jururawat bertugas memaklumkan sebaik sahaja beliau selesai memasukkan jarum ke urat tangan saya. Saya memandang botol air yang tergantung. "Ohh..banyaknya air itu.." lantas saya memejamkan mata. Hanya tidur sahaja dapat membendung perasaan saya yang tiba-tiba sayu. Saya sedih kerana biasanya apabila saya demam atau sakit, saya hanya perlu makan ubat. Tetapi kali ini, sehingga perlu dimasukkan air. Terasa sungguh ni'mat sihat yang tidak saya syukuri selama ini.

Sebaik saja saya tersedar, jururawat telahpun bersedia untuk mengambil bacaan tekanan darah saya semula. "Alhamdulillah...leganya." Saya gembira benar melihat botol yang tadinya hampir penuh kini telahpun kosong.

"Bacaan tekanan darah puan normal, cuma masih lowish. Maksudnya, masih rendah. Puan masih pening?" Dr Ikmal bersungguh-sungguh mengambil bacaan tekanan darah saya. Berkali-kali. Sungguh dia tidak puas hati mungkin. Saya diarahkan berehat lagi. Di tempat yang sama. Saya menurut sahaja.

Hanya selepas Dr berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya, maka saya dibenarkan pulang ke rumah. Saya lega sungguh. Alhamdulillah.

Terasa sayu tatkala saya solat menunaikan maghrib di Tingkat 3 Azzahra.
Terkenangkan ni'mat sihat yang diambil sekejap saja oleh Dia sebentar tadi.

"Jadikanlah daku di kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur"

p/s: Pic saya semasa di sick bay. Waktu itu Izz belum datang memanjat katil saya. :)

1 comment: