PERTEMUANAhad lepas, saya menikmati makan tengahari di kampus UIAM Gombak. Bersama-sama saya kenalan lama saya yang sudi menemankan. Saya berselera benar menikmati nasi bukhari yang lazat petang itu. Mungkin orang mengandung ini seleranya pelik-pelik. Sanggup ke UIA semata-mata mahu makan nasi bukhari The Nile!
AAC dan KCB
Kami bersembang lama. Maklumlah sudah lama tidak berjumpa. Ada topik yang singgah tentang cinta. Sudah adatnya dunia remaja bukan? Soalnya bagaimana memaknakan sebuah cinta?
Saya pernah menonton kedua-dua filem AAC (Ayat-ayat Cinta) dan KCB (Ketika Cinta Bertasbih). Namun, saya masih belum berpeluang membaca novel KCB. Pada saya, ada kelainan antara novel AAC dan filemnya. Novel AAC lebih 'enrich' dari segi ilmu, pembawaan watak dan jalan cerita berbanding filemnya. Pun begitu, kedua-dua filem ini tetap mencatat 'rating' di hati saya.
Saya melihat kedua-dua filem ini sebagai penceritaan yang baik tentang bagaimana seseorang harus memahami dan bermuamalah dengan cinta. Cinta bukan subjek yang diajar secara formal di sekolah. Namun, ia akan datang ke dalam kehidupan kita.
Melalui sekolah kehidupan. Sama ada mahu atau tidak. Sama sedar mahupun sebaliknya. Jadi penting untuk kita tahu mengurusnya.
Dalam kedua-dua filem tersebut terdapat dua perkara yang sama. Jujurnya, setakat pemerhatian saya yang terhad ilmu perfilemannya.
Pertama: Framework tentang cinta
Kedua: Strategi bercinta
FRAMEWORK CINTA AAC dan KCB
AAC dan KCB kedua-duanya mengetengahkan cinta yang objektifnya jelas iaitu sebuah PERKAHWINAN. Baik Fakhri dengan Aisya mahupun Azzam dengan pasangannya Anna. Jika pun boleh disebut cinta, maka yang ada pada mereka hanyalah cinta SELEPAS perkahwinan. Warna-warni dan rencah jalan cerita yang berliku itu hanya menuju matlamat yang jelas dan satu iaitu PERKAHWINAN.
Sebuah jalan cerita yang mungkin sama sahaja dengan filem Hindustan?
Tentu tidak pada saya. Kerana filem Hindustan menggamit khayalan, melestarikan perasaan yang bukan-bukan, membutakan cinta dengan nafsu dan lebih kepada kecintaan hanya pada paras rupa. Manakan kita pernah menonton hero atau heroin yang tidak kacak atau jelita dalam filem-filem mereka? Nanti ada pula panggung wayang yang dibakar di India...
AAC dan KCB juga mengetengahkan tentang MATLAMAT perkahwinan yang dicitrakan. Baik Fakhri mahupun Azzam, kedua-duanya mahukan isteri yang solehah, beragama, terdidik dan memiliki akhlaq yang mulia. Demikian Aisya dan Anna, lelaki soleh dan beragama itulah yang didambakan. Kriteria yang mereka idamkan jelas sekali. Masakan tidak, ini kerana MATLAMAT perkahwinan mereka juga jelas. Mahu membina usrah yang menjadi penerus perjuangan Islam.
Sayang sekali, filem cinta yang ada 'kering' dalam mendakwahkan masyarakat tentang hal ini (mungkin tidak semua). Yang ada hanya perkahwinan mesti didasari cinta. Sedangkan matlamat yang lain senang-senang dikesampingkan. Jika anda menonoton Dalil Cinta baru-baru ini, memang jelas yang perkahwinan Lia dan Zareef adalah tidak ketahuan. Setakat cinta semata-mata? Sedangkan perkahwinan itu adalah PAKEJ.. ia kombinasi CINTA dan kesediaan melaksanakan TANGGUNGJAWAB. Tanpa kedua-duanya perkahwinan tidak akan sama seperti yang diimaginasikan!
STRATEGI BERCINTA AAC dan KCB
Dalam AAC dan KCB. Ada tiga strategi cinta berkesan yang diutarakan dengan baik.
Pertama: USAHA
Sebut tentang usaha, ramai yang mengatakan perempuan lazimnya lebih terhad untuk berusaha Benarkah begitu? Saya tidak rasa begitu setelah melihat tindakan Aisya yang meminta bapa saudaranya untuk taqdim Fakhri Bin Abdullah Siddiq. Begitu juga tindakan Nurul yang meminta bantuan Ustaz Jalal bagi tujuan yang sama. Malah Noura menggunakan medium surat. Mereka masing-masing berusaha. Yang penting usaha itu dalam batas syara' dan berkesan.
Dalam menyebut hal USAHA, ada tiga elemen yang penting di situ. MASA yang TEPAT, MEDIUM yang TEPAT dan TEKNIK yang TEPAT. Ketiga-tiganya harus ada serentak. Contoh mudah, Nurul dalam AAC mungkin ada medium yang tepat iaitu Ustaz Jalal, dan teknik yang tepat iaitu orang tengah yang dihormati oleh Fakhri. Namun, Nurul kehilangan sesuatu iaitu masa yang tepat! Nurul telah terlambat! Benarlah...kadang-kadang jodoh belum tiba kerana belum ada ketiga-tiganya. Teruskan berusaha!
Kedua: DOA
Tidak dinafikan, watak-watak di dalam filem ini mengutamakan doa bagi mengiringi setiap usaha mereka. Fakhri bahkan meminta ibunya di Indonesia mendoakan jodoh yang solehah untuknya. Azzam yang setelah pulang ke kampung halamannya, sentiasa berdamping dengan doa dalam setiap langkahnya meminang pilihan hatinya.
Ya. Doa adalah senjata mukmin. Lantaran itu, berdoalah agar dikurniakan jodoh yang terbaik.
Ketiga: Tawakkal
Menerusi AAC dan KCB, saya berjaya 'refine' makna tawakkal yang saya faham sebelum ini.
Katalah dalam KCB, Azzam berusaha dan berdoa agar memperoleh seorang isteri yang solehah. Dan dia merasakan Anna lah orangnya, lalu dia berusaha untuk melamar Anna melalui kenalannya. Namun, taqdir Allah menentukan Anna telah dikhitbah temannya, iaitu Furqan. Bagi Azzam, dia tidak menentukan Anna lah satu-satunya jodohnya. Namun, dia tidak pula tahu sama ada benar Anna jodohnya atau tidak melainkan setelah dia berusaha. Makanya, jika jodohnya dengan Anna maka Allah pasti akan memperkenankan doa dan usahanya. Jika tidak, maka pastilah Allah akan menentukan jodoh yang lebih baik untuknya. Itulah tawakkal.
Dalam realiti kehidupan juga begitu, jika anda mahu mencari pasangan yang soleh dan solehah untuk dinikahi, jangan anda bertawakkal untuk memperoleh si dia! Tetapi bertawakkal untuk mendapat yang soleh. Jika anda yakin yang dia adalah orangnya, maka berusaha dan bertawakkal kepada Allah. Jika dipermudahkan maka insyaAllah dia adalah untukmu. Jika sebaliknya, mungkin itu bukan yang terbaik untukmu.
Ketahuilah...kita bertawakkal bukan untuk si dia, tetapi bertawakkal memperoleh calon yang soleh. Mungkin dia dan barangkali juga orang lain! Yang penting terus berusaha dan berdoa.
Sekian bingkisan AAC dan KCB saya... :)