Thursday, October 29, 2009

NI'MAT SIHAT


Isnin malam saya demam. Suami saya kata badan saya panas. Saya bangun solat dan makan ubat. Lalu, tertidur kembali.

Keesokannya, saya rasa sihat. Langsung bersiap dan ke kelas jam 8 pagi.
Usai kelas, saya membeli sarapan. Namun, terasa mahu pitam di pertengahan jalan. Alhamdulillah, kaki saya sempat menapak ke bilik rehat staff. Kawan-kawan risau melihatkan saya. Ada juga yang berspekulasi. Saya tersenyum sahaja. Sungguh saya tidak larat. Saya berehat di situ.

Setelah mengumpul tenaga, saya memanjat tangga menuju ke bilik saya di tingkat dua. Alhamdulillah, saya kembali menyambung rehat sambil menunggu si suami untuk menghantar saya ke Azzahra.

Selepas pemeriksaan, doktor mengatakan suhu badan saya tinggi manakala tekanan darah saya rendah. Mungkin sebab stress atau mungkin juga disebabkan kurang tidur. Saya akui saya kurang tidur akhir-akhir ini, tetapi tidaklah sehingga menyebabkan saya stress. Lalu, saya diberikan cuti rehat esok harinya. Doktor mencadangkan saya berehat di sick bay bahagian belakang GF dan dimasukkan air. Saya mohon untuk solat terlebih dahulu.

Selesai solat saya kembali ke sick bay. "Puan, proses ni ambil masa dalam 1 jam setengah. Puan berehatlah ye" jururawat bertugas memaklumkan sebaik sahaja beliau selesai memasukkan jarum ke urat tangan saya. Saya memandang botol air yang tergantung. "Ohh..banyaknya air itu.." lantas saya memejamkan mata. Hanya tidur sahaja dapat membendung perasaan saya yang tiba-tiba sayu. Saya sedih kerana biasanya apabila saya demam atau sakit, saya hanya perlu makan ubat. Tetapi kali ini, sehingga perlu dimasukkan air. Terasa sungguh ni'mat sihat yang tidak saya syukuri selama ini.

Sebaik saja saya tersedar, jururawat telahpun bersedia untuk mengambil bacaan tekanan darah saya semula. "Alhamdulillah...leganya." Saya gembira benar melihat botol yang tadinya hampir penuh kini telahpun kosong.

"Bacaan tekanan darah puan normal, cuma masih lowish. Maksudnya, masih rendah. Puan masih pening?" Dr Ikmal bersungguh-sungguh mengambil bacaan tekanan darah saya. Berkali-kali. Sungguh dia tidak puas hati mungkin. Saya diarahkan berehat lagi. Di tempat yang sama. Saya menurut sahaja.

Hanya selepas Dr berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya, maka saya dibenarkan pulang ke rumah. Saya lega sungguh. Alhamdulillah.

Terasa sayu tatkala saya solat menunaikan maghrib di Tingkat 3 Azzahra.
Terkenangkan ni'mat sihat yang diambil sekejap saja oleh Dia sebentar tadi.

"Jadikanlah daku di kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur"

p/s: Pic saya semasa di sick bay. Waktu itu Izz belum datang memanjat katil saya. :)

Wednesday, October 21, 2009

BUKAN SUSAH NAK PANDAI! TAPI...


"Learning takes place when our students understand what being taught" tutur Prof Dr Sidek Baba dalam key note address di auditorium pada satu pagi Rabu yang damai.

Saya yang mendengar sambil ralit mencatat nota berhenti seketika.

Satu soalan menerjah pemikiran saya.

"Fahamkah pelajar saya akan apa yang saya ajar dengan sebaik-baiknya? Did my teaching and learning process take place accordingly?" saya cuba memuhasabah diri.

Tugas saya di kampus adalah untuk mendidik pelajar-pelajar saya.
Tugas saya di rumah adalah untuk mendidik generasi saya. Rumah adalah madrasah pertama buat anak-anak yang suci fitrahnya.

Tiba-tiba saya terasa kerdil dan serba kekurangan. Adakah amanah ini telah saya sempurnakan dengan sebaik-baiknya?

"Bahkan sistem pendidikan yang kolaboratif mampu menganjakkan pelajar dari yang lemah kepada sederhana, dari yang sederhana kepada pandai dan dari yang pandai kepada bijaksana" beliau menyambung lagi. Ceramahnya kali ini dwi-bahasa, bagi meraikan diantara pendengar yang masih hijau dengan alam kampus dengan sebahagian foreigners yang turut menjadi sebahagian keluarga besar kampus kami.

Saya menyambung dengar dengan penuh minat.
Namun, persoalannya bagaimana?

Saya terus mencatat nota.

Namun, huraian saya di sini saya gabungjalinkan dengan pemahaman dan pengalaman saya sendiri.

Pendidikan itu ada EMPAT elemen yang utama. Dan, semuanya harus diasaskan melalui kaca mata Islam:

1) TO LEARN
Proses pengajaran dan pembelajaran yang memberikan pelajar sesuatu yang informatif, agar dengan maklumat itu pelajar itu dari 'tidak tahu' maka menjadi seorang yang 'tahu' dan 'bermaklumat'.

Berdasarkan pengalaman, inilah yang didedahkan kepada saya sewaktu saya di peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah. (Oh ya, saya tidak pernah melalui pendidikan pra-sekolah formal kerana saya adalah seorang yang tidak suka ke sekolah pada waktu kecil).

Kebanyakan yang diajar adalah dengan memberi input agar saya menjadi orang yang berpengetahuan dan bermaklumat.

Ada yang mungkin bercorak spoon-feed, ada yang didominasi metodologi hafazan dan tak kurang yang berasaskan orientasi peperiksaan. Teringat semasa di SMAC, saya dan sahabat-sahabat mesti tasmi' dengan asaatiz. Dan saya bukanlah seorang yang bagus ingatannya. Jika tidak, masakan hadith-hadith yang telah saya hafaz dulu-dulu tidak banyak yang masih saya ingat. Atau, tentu sahaja rukun dan syarat fekah dalam kitab Iqna' yang diusung itu dulu masih belum pudar dari ingatan saya. Itulah saya.

Namun, untuk 'tahu' sahaja tidak cukup. Pun begitu, untuk 'tahu' adalah langkah yang paling awal yang harus dikuasai. Tanpa pengetahuan yang mencukupi dan bernas, langkah seterusnya akan sedikit pincang. Terima kasih para guru-guruku.

Dan proses inilah yang telah, sedang dan akan saya hidupkan. Formal mahupun sebaliknya.
Kerana dari 'tahu', saya menjadi ingin 'lebih tahu'. Sungguh.


2) TO UNDERSTAND
Kefahaman dan memahami itu luas konteksnya.
Pemahaman tentang sesuatu disiplin ilmu harus jelas, koheren dan menyeluruh.
Ia harus mengangkat martabat manusia agar benar-benar bersifat manusiawi.

Memartabatkan aqal yang dianugerahkan oleh Allah agar kita berfikir. Iaitulah melunaskan seruan agar menjadi golongan yang beraqal atau 'ya'qiluun'.
Mengangkat aqal yang dianugerahkan oleh Allah agar kita berfikir dengan mendalam. Iaitulah mengambil peduli seruan Al Quran agar menjadi golongan yang berfikir atau 'yatafakkaruun'.
Menginstitusikan aqal yang dianugerahkan oleh Allah agar kita meneliti, mencari makna, membuat kajian tentang ciptaan dan ilmu Allah. Iaitulah menyahut saranan Al Quran agar menjadi golongan yang mentadabbur atau 'yataddabaruun'.

Jujurnya, saya masih memperbaiki diri dalam proses kedua ini. Masih banyak yang mahu dibuat kajian atau research, namun usaha ke arah itu masih di tahap minima.

Dan jujurnya lagi, ada resah dan rajaa' dalam doa yang saya panjatkan setiap hari iaitu "allahumma alhimni rusydi, wa 'a'izni min syarri nafsi". Saya mohon diberikan pemahaman yang benar. Yang menunjuki dan memandu perjalanan hidup saya serta menjauhkan saya daripada kejahatan dan kesesatan. Kerana kefahaman yang baik itu datangnya dari Allah yang Maha Mengetahui.

Analoginya, dari lima orang yang hadir ke kelas yang sama. Masing-masing memperoleh pemahaman yang berbeza tahapnya. Ada yang lemah, baik, amat baik dan cemerlang. Kerana pemahaman itu datangnya dari hati. Hati yang bersih yang memungkinkan seseorang itu faham sehingga mampu mentadabbur dan menjadi semakin dekat dengan Penciptanya. Semakin mendalam kecintaannya kepada addeennya.

3) TO INTERNALIZE
Internalizing adalah proses menyerap ilmu dan kefahaman yang diperolehi ke dalam minda dan hati.

Analoginya ialah tentang proses saya belajar mengenai solat dan pencapaiannya.

Mula-mula saya melaksanakan solat kerana meniru (ini pada waktu kecil-kecil ye). Kemudian kerana memahami yang ia adalah kewajipan dan berdosa apabila dilewat-lewatkan apatah lagi ditinggalkan (sekurang-kurangnya begitulah tahap solat saya sehinggalah saya mula belajar tentang fiqh solat di kuliah ilmu informal di IIUM serta melalui pembacaan saya terutama karya UZAR dan majalah SOLUSI). Waktu ini, solat saya jauh sekali daripada kesedaran minda dan hati. Sebahagian besar makna bacaan dalam solat mungkin saya tahu tetapi belum ada penghayatannya.

Rukun fi'li saya di kutub utara.
Hati dan minda saya di kutub selatan. Lalu, jadilah saya orang yang lalai dan leka di dalam solat.
Iaitulah belum ada the process of internalization.

Namun, dengan rendah diri saya terus mencuba memperbaiki kualiti solat saya. Sehinggalah, kini hadir dalam lafaz "Allahu akbar" yang diucapkan satu rasa dalam diri saya bahawa Allah itu Maha Besar. Saya merasakan yang saya tidak lain melainkan hambaNya yang lemah, hina dan berdosa. Berdirinya saya untuk solat tidak 'menambah' apa-apa pada kekuasaan Allah. Culasnya saya meninggalkan solat tidak 'mengurangi' apa-apa pada kebesaran dan keagungan Allah. Kerana saya lah berkehendak kepada pertolongan dan hidayah Allah. Tubuh saya yang kerdil itu meletakkan dahinya ke tempat paling bawah sewaktu bersujud seketika cuma. Sebagai tanda kepatuhan dan penyerahan. Namun, makhluk Allah yang lain seperti matahari, bulan, bintang, burung di langit dan ikan di lautan tunduk kepada Allah setiap masa. Alangkah kerdilnya saya.

Demikianlah, ilmu itu perlu di internalisasikan.
Menjadikan ia diserap oleh minda dan hati.
Jangan jadi seperti daun keladi atau lebih dari itu lagi.

4) TO ACTUALIZE/ MANIFEST
Merealisasikan ilmu dengan memanifestasikannya dalam kehidupan. Mengaplikasikannya dalam tadbir urus alam yang di amanahkan kepada kita sebagai khalifatullah.

Proses ini adalah untuk mengamalkan ilmu. Agar aqal dan jiwa yang telah dibangunkan dengan ilmu, kefahaman dan internalisasi ini mampu mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik. Penambah baikan yang bermula dari diri tidak harus terhenti begitu sahaja.

Berbaktilah.

Agar umat mendapat manfaat.
Agar diri menjadi hebat.
"Islah nafsak, ud'u ghairak" suami saya mengingatkan diri saya apabila alarm kemalasan melanda diri.

Untuk memanifestasi adalah kerja yang mencabar. Apatah lagi jika melawan arus. Jika tidak ampuh, nescaya akan terikut lenggok yang ramai tetapi batil.

"Jadilah kamu di kalangan orang yang benar, walaupun seorang diri!" ucap Syeikh Aiman dengan bersemangat. Beliau adalah salah seorang syuyukh yang saya belajar sewaktu di IIUM.

Terkadang, bercakap dan menyampaikan memang mudah. Namun, melaksanakannya tidaklah semudah itu.

Jujurnya, diri saya sendiri begitu. Terasa aib pada diri. Terasa bersalah pada ilmu yang dimiliki. Berilah kami kekuatan Ya Allah.

Jadilah bukan sekadar orang yang bijak pandai, tetapi seorang mukmin yang membangun ummah!

Islam adalah kehidupan kami. Kehidupan kami adalah Islam.

Mudah-mudahan.

Wednesday, October 14, 2009

I AM GETTING OLDER TODAY

Hari ini saya baru menginjak usia. Semakin matang hendaknya. Saya bersyukur dengan apa yang ada. Namun, akan terus berusaha menggapai kejayaan di hari muka. Saya gembira dengan penghidupan saya. Dan saya yakin yang saya dan dia bertanggungjawab untuk terus mencipta sebuah BAHAGIA. Hingga ke syurga.
Saya hargai semua yang membantu 'membangunkan' saya dari seorang yang tiada apa-apa kepada seorang manusia yang berusaha memperbaiki diri dan memanfaatkan potensi.
Saya tidak tahu nihayah saya bagaimana rupanya, namun saya sedar kelangsungan hidup yang soleh in syaAllah menemukan nihayah yang hasanah.
Saya mendoakan agar kehidupan yang dihidayahi, diberkati dan dilindungi olehNya. Semoga Dia akan merahmati saya dan dia. Kita semua, in syaAllah.
Terima kasih buat Mak, Aki dan keluarga kedua-duanya. Saya bersyukur atas hari yang bahagia. Juga, atas hadiah (sempena Mahabbah Aidil Fitri) dan ucapan ikhlas dari kalian, wahai teman-temanku. Mudah-mudahan kita akan sentiasa dirahmatiNya.

Friday, October 2, 2009

AKHIRNYA SAYA PASRAH

Nampaknya kami terpaksa buat minor operation ke atas gigi puan yang rosak ni. Sebab ia melibatkan geraham bongsu yang tumbuh secara sedikit senget dan ia telahpun rosak” Dr Haslina menerangkan kondisi gigi saya secara panjang lebar malam itu. Saya termenung memerhatikan wajah suami saya dan Izz sambil menahan rasa takut bercampur sakit yang menggigit, hakikatnya saya fobia tentang hal-hal menampal dan mencabut gigi ini. Sungguh. Itulah sebabnya, berjumpa doktor gigi adalah perkara terakhir dalam hidup saya. Dan inilah akibatnya. Gigi saya telah kritikal!


Sebetulnya, dari hari ke 3 Syawwal lagi gigi saya terasa sakit. Menahannya dengan ’pain killer’ yang beraneka jenis rupa-rupanya tidak mampu mengurangi rasa sakit yang tidak tertahan ini. Gigi saya yang rosak adalah geraham bongsu di sebelah kanan. Namun, jaluran saraf yang membawa rasa sakit itu menafsirkan seolah keempat-empat bahagian geraham itu sakit. Hatta, sewaktu jari-jemari Izz tertarik rambut saya, sakitnya turut terasa hingga ke kepala. Rasanya berdenyut-denyut. Seolah-olah sang bakteria si karies gigi itu sedang berpesta mengorek dengan rakusnya gigi saya itu. Untuk itu, saya dengan konsistennya menelan antibiotik yang diberikan setiap kali waktunya. Saya rasa lemah untuk membuat apapun, sebab sakitnya yang amat.


Doktor mencadangkan agar saya menjalani minor operation itu sebaik antibiotik yang diberikan habis dimakan. Saya mengira-ngira kuantiti antibiotik yang tinggal. Aduh, maknanya dalam minggu depan saya harus disorong ke kerusi merah jambu bilik itu lagi. Bahkan, setiap hari suami saya menanyakan bila saya bersedia berjumpa doktor untuk tujuan itu (masakan tidak – melihat saya menangis menahan sakit saja sudah membuatkan suami saya susah hati). Saya menghela nafas panjang, mengharapkan hari yang bersejarah itu akan berjaya ditempuhi dengan tabah.


Makanya, in syaAllah setelah selesai sesi audit pada minggu hadapan, saya akan menjalani sebuah pembedahan kecil bagi membuang gigi itu. Saya bakal menjalaninya pada sebelah pagi (itu saranan doktor). Akan menerima MC selama dua hari serta menikmati soft meal diet. Selepas ini, saya berjanji pada diri saya untuk lebih menjaga dan menghargai gigi-gigi saya. Doakan saya ye!