Wednesday, October 21, 2009

BUKAN SUSAH NAK PANDAI! TAPI...


"Learning takes place when our students understand what being taught" tutur Prof Dr Sidek Baba dalam key note address di auditorium pada satu pagi Rabu yang damai.

Saya yang mendengar sambil ralit mencatat nota berhenti seketika.

Satu soalan menerjah pemikiran saya.

"Fahamkah pelajar saya akan apa yang saya ajar dengan sebaik-baiknya? Did my teaching and learning process take place accordingly?" saya cuba memuhasabah diri.

Tugas saya di kampus adalah untuk mendidik pelajar-pelajar saya.
Tugas saya di rumah adalah untuk mendidik generasi saya. Rumah adalah madrasah pertama buat anak-anak yang suci fitrahnya.

Tiba-tiba saya terasa kerdil dan serba kekurangan. Adakah amanah ini telah saya sempurnakan dengan sebaik-baiknya?

"Bahkan sistem pendidikan yang kolaboratif mampu menganjakkan pelajar dari yang lemah kepada sederhana, dari yang sederhana kepada pandai dan dari yang pandai kepada bijaksana" beliau menyambung lagi. Ceramahnya kali ini dwi-bahasa, bagi meraikan diantara pendengar yang masih hijau dengan alam kampus dengan sebahagian foreigners yang turut menjadi sebahagian keluarga besar kampus kami.

Saya menyambung dengar dengan penuh minat.
Namun, persoalannya bagaimana?

Saya terus mencatat nota.

Namun, huraian saya di sini saya gabungjalinkan dengan pemahaman dan pengalaman saya sendiri.

Pendidikan itu ada EMPAT elemen yang utama. Dan, semuanya harus diasaskan melalui kaca mata Islam:

1) TO LEARN
Proses pengajaran dan pembelajaran yang memberikan pelajar sesuatu yang informatif, agar dengan maklumat itu pelajar itu dari 'tidak tahu' maka menjadi seorang yang 'tahu' dan 'bermaklumat'.

Berdasarkan pengalaman, inilah yang didedahkan kepada saya sewaktu saya di peringkat sekolah rendah dan juga sekolah menengah. (Oh ya, saya tidak pernah melalui pendidikan pra-sekolah formal kerana saya adalah seorang yang tidak suka ke sekolah pada waktu kecil).

Kebanyakan yang diajar adalah dengan memberi input agar saya menjadi orang yang berpengetahuan dan bermaklumat.

Ada yang mungkin bercorak spoon-feed, ada yang didominasi metodologi hafazan dan tak kurang yang berasaskan orientasi peperiksaan. Teringat semasa di SMAC, saya dan sahabat-sahabat mesti tasmi' dengan asaatiz. Dan saya bukanlah seorang yang bagus ingatannya. Jika tidak, masakan hadith-hadith yang telah saya hafaz dulu-dulu tidak banyak yang masih saya ingat. Atau, tentu sahaja rukun dan syarat fekah dalam kitab Iqna' yang diusung itu dulu masih belum pudar dari ingatan saya. Itulah saya.

Namun, untuk 'tahu' sahaja tidak cukup. Pun begitu, untuk 'tahu' adalah langkah yang paling awal yang harus dikuasai. Tanpa pengetahuan yang mencukupi dan bernas, langkah seterusnya akan sedikit pincang. Terima kasih para guru-guruku.

Dan proses inilah yang telah, sedang dan akan saya hidupkan. Formal mahupun sebaliknya.
Kerana dari 'tahu', saya menjadi ingin 'lebih tahu'. Sungguh.


2) TO UNDERSTAND
Kefahaman dan memahami itu luas konteksnya.
Pemahaman tentang sesuatu disiplin ilmu harus jelas, koheren dan menyeluruh.
Ia harus mengangkat martabat manusia agar benar-benar bersifat manusiawi.

Memartabatkan aqal yang dianugerahkan oleh Allah agar kita berfikir. Iaitulah melunaskan seruan agar menjadi golongan yang beraqal atau 'ya'qiluun'.
Mengangkat aqal yang dianugerahkan oleh Allah agar kita berfikir dengan mendalam. Iaitulah mengambil peduli seruan Al Quran agar menjadi golongan yang berfikir atau 'yatafakkaruun'.
Menginstitusikan aqal yang dianugerahkan oleh Allah agar kita meneliti, mencari makna, membuat kajian tentang ciptaan dan ilmu Allah. Iaitulah menyahut saranan Al Quran agar menjadi golongan yang mentadabbur atau 'yataddabaruun'.

Jujurnya, saya masih memperbaiki diri dalam proses kedua ini. Masih banyak yang mahu dibuat kajian atau research, namun usaha ke arah itu masih di tahap minima.

Dan jujurnya lagi, ada resah dan rajaa' dalam doa yang saya panjatkan setiap hari iaitu "allahumma alhimni rusydi, wa 'a'izni min syarri nafsi". Saya mohon diberikan pemahaman yang benar. Yang menunjuki dan memandu perjalanan hidup saya serta menjauhkan saya daripada kejahatan dan kesesatan. Kerana kefahaman yang baik itu datangnya dari Allah yang Maha Mengetahui.

Analoginya, dari lima orang yang hadir ke kelas yang sama. Masing-masing memperoleh pemahaman yang berbeza tahapnya. Ada yang lemah, baik, amat baik dan cemerlang. Kerana pemahaman itu datangnya dari hati. Hati yang bersih yang memungkinkan seseorang itu faham sehingga mampu mentadabbur dan menjadi semakin dekat dengan Penciptanya. Semakin mendalam kecintaannya kepada addeennya.

3) TO INTERNALIZE
Internalizing adalah proses menyerap ilmu dan kefahaman yang diperolehi ke dalam minda dan hati.

Analoginya ialah tentang proses saya belajar mengenai solat dan pencapaiannya.

Mula-mula saya melaksanakan solat kerana meniru (ini pada waktu kecil-kecil ye). Kemudian kerana memahami yang ia adalah kewajipan dan berdosa apabila dilewat-lewatkan apatah lagi ditinggalkan (sekurang-kurangnya begitulah tahap solat saya sehinggalah saya mula belajar tentang fiqh solat di kuliah ilmu informal di IIUM serta melalui pembacaan saya terutama karya UZAR dan majalah SOLUSI). Waktu ini, solat saya jauh sekali daripada kesedaran minda dan hati. Sebahagian besar makna bacaan dalam solat mungkin saya tahu tetapi belum ada penghayatannya.

Rukun fi'li saya di kutub utara.
Hati dan minda saya di kutub selatan. Lalu, jadilah saya orang yang lalai dan leka di dalam solat.
Iaitulah belum ada the process of internalization.

Namun, dengan rendah diri saya terus mencuba memperbaiki kualiti solat saya. Sehinggalah, kini hadir dalam lafaz "Allahu akbar" yang diucapkan satu rasa dalam diri saya bahawa Allah itu Maha Besar. Saya merasakan yang saya tidak lain melainkan hambaNya yang lemah, hina dan berdosa. Berdirinya saya untuk solat tidak 'menambah' apa-apa pada kekuasaan Allah. Culasnya saya meninggalkan solat tidak 'mengurangi' apa-apa pada kebesaran dan keagungan Allah. Kerana saya lah berkehendak kepada pertolongan dan hidayah Allah. Tubuh saya yang kerdil itu meletakkan dahinya ke tempat paling bawah sewaktu bersujud seketika cuma. Sebagai tanda kepatuhan dan penyerahan. Namun, makhluk Allah yang lain seperti matahari, bulan, bintang, burung di langit dan ikan di lautan tunduk kepada Allah setiap masa. Alangkah kerdilnya saya.

Demikianlah, ilmu itu perlu di internalisasikan.
Menjadikan ia diserap oleh minda dan hati.
Jangan jadi seperti daun keladi atau lebih dari itu lagi.

4) TO ACTUALIZE/ MANIFEST
Merealisasikan ilmu dengan memanifestasikannya dalam kehidupan. Mengaplikasikannya dalam tadbir urus alam yang di amanahkan kepada kita sebagai khalifatullah.

Proses ini adalah untuk mengamalkan ilmu. Agar aqal dan jiwa yang telah dibangunkan dengan ilmu, kefahaman dan internalisasi ini mampu mengubah masyarakat ke arah yang lebih baik. Penambah baikan yang bermula dari diri tidak harus terhenti begitu sahaja.

Berbaktilah.

Agar umat mendapat manfaat.
Agar diri menjadi hebat.
"Islah nafsak, ud'u ghairak" suami saya mengingatkan diri saya apabila alarm kemalasan melanda diri.

Untuk memanifestasi adalah kerja yang mencabar. Apatah lagi jika melawan arus. Jika tidak ampuh, nescaya akan terikut lenggok yang ramai tetapi batil.

"Jadilah kamu di kalangan orang yang benar, walaupun seorang diri!" ucap Syeikh Aiman dengan bersemangat. Beliau adalah salah seorang syuyukh yang saya belajar sewaktu di IIUM.

Terkadang, bercakap dan menyampaikan memang mudah. Namun, melaksanakannya tidaklah semudah itu.

Jujurnya, diri saya sendiri begitu. Terasa aib pada diri. Terasa bersalah pada ilmu yang dimiliki. Berilah kami kekuatan Ya Allah.

Jadilah bukan sekadar orang yang bijak pandai, tetapi seorang mukmin yang membangun ummah!

Islam adalah kehidupan kami. Kehidupan kami adalah Islam.

Mudah-mudahan.

1 comment:

  1. Begin with in the end in mind; Pembelajaran dan pendidikan itu adalah satu proses. Namanya sahaja proses sudah mengambarkan bahawa suatu upaya dan daya perlu diusahakan secara bersungguh-sungguh untuk menatijahkan hasil yang dikehendaki; siapa yang menanam dialah yang menuai...

    ReplyDelete