Sunday, April 26, 2009

MENGGENGGAM KEJAYAAN: SIRI I



BERSEDIA vs LALAI

Bersedia datangnya dari minda yang sedar. Ia hadir bersama pakej pemikiran, hati dan perbuatan yang dikawal secara langsung oleh jiwa yang mahu mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Seseorang yang bersedia adalah seseorang yang tahu apa yang mahu, patut dan akan dilakukannya. Baginya, dia peka dengan apa yang akan selari mahupun bertentangan dengan apa yang mahu dicapainya. Dan dia bersedia menghadapi segala risiko dan halangan.

Bersedia adalah sikap. Bersedia adalah habit. Bersedia adalah diri.

Seseorang yang lalai dan lewa pastinya tidak mampu bersedia dan biasanya dirinya dikawal dan bukannya mengawal. Dan, seseorang yang gagal mengawal dirinya beerti tidak mampu mencapai apa yang dicita-citakannya.

Bersedia adalah pilihan. Jika memilih bersedia, maka kita menjadi orang yang bersedia. Jika tidak memilih pilihan yang pertama tadi, maka kita adalah orang yang lalai. Tiada ruang vakum.

ANALOGI
Jika dicampur dan ditolak, lebih kurang empat bulan lagi kita akan menyambut ketibaan Ramadhan yang mulia, in syaAllah. Bulan yang menjanjikan malam al qadr yang lebih baik dari seribu bulan. Namun, pelbagai kategori dan jenis manusia yang bersedia menyambut Ramadhan setiap tahun. Sesetengahnya bersedia dengan membuat tempahan baju dan mengintai resipi, sesetengahnya pula mungkin bersedia dengan membuat countdown di blog masing-masing. Dan sesetengahnya mempersiapkan diri dengan amal soleh. Namun, bersedia itu apa dan bagaimana?

Seseorang yang benar-benar bersedia menghadapi Ramadhan adalah individu yang telah menetapkan matlamatnya apabila bergraduasi dari bulan tersebut.

Seseorang yang benar-benar bersedia menghadapi Ramadhan adalah individu yang memahami tujuan dan keperluan serta cara mengimarahkannya dengan berlandaskan ilmu dan kefahaman.

Seseorang yang benar-benar bersedia menghadapi Ramadhan adalah individu yang melatih dirinya dengan amal yang soleh agar benar-benar terbiasa apabila sampai waktunya.

Seseorang yang benar-benar bersedia menghadapi Ramadhan adalah individu yang tahu mengawal dan melakukan 'correcting actions' apabila suasana persekitarannya mengalihkan tumpuannya dari matlamat yang ingin digenggamnya.

Maknanya

BERSEDIA = MATLAMAT YANG S.M.A.R.T + TAHU THE 'KNOW HOW' + PRAKTIS + AMALKAN LANGKAH PEMBETULAN/ CORRECTING ACTIONS

BERSEDIA ADALAH TUNTUTAN
Sebagai mukmin, kita wajib percaya yang kematian itu satu kepastian. Sungguhpun begitu, tiada siapa mampu meramalkannya. Hatta, seorang doktor yang mendiagnos sesuatu stage penyakit pesakitnya pun tidak mampu memastikan hayat pesakitnya 100%. Tiada seorangpun manusia yang mengetahui dengan pasti tentang tarikh dia bakal di'jemput' Penciptanya.

Kenapa begitu?

Jawapannya ialah supaya kita bersedia menghadapi dan melaluinya. Keterhadan ilmu sebagai manusia menuntut kita supaya bersedia kerana ajal yang pasti akan datang itu akan datang bila-bila dan di mana pun jua. Pada waktu kita bersedia mahupun ketika sedang leka dan lewa.

Islam menuntut kita menjadi penganut yang peka dan bersedia. Bersedia untuk mati,bermakna kita mengoptimumkan kehidupan untuk bekalan di hari akhirat. Bersedia untuk berjuang bermakna kita mahu mengenggam kemenangan. Bersedia untuk berubah bermakna kita memberikan ruang untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.

BERSEDIA MENJADIKAN KITA 'RAJA' KEPADA MASA
"Kenapa engkau kelam kabut ni?" soal Azimah kepada temannya yang tidak tidur malam menyiapkan tugasan yang harus dihantar tidak lama lagi. Temannya juga kelihatan tertekan dan keletihan.

Tergopoh-gapah. Tergesa-gesa. Kelam-kabut. Pernahkah anda mengalaminya? Jujurnya, saya juga mengalaminya.

Gopoh-gapah, tergesa-gesa dan kelam-kabut menjadikan saya tidak punya authority terhadap masa. Kawalan terhadapnya hilang dan saat itu MASA lah yang menguasai saya dan bukan sebaliknya.

Kenapa ia terjadi? Jawapannya ialah saya tidak bersedia menghadapi deadline yang ditetapkan. Saya tidak menyedia dan melaksanakan rangka kerja dan gerak kerja yang optimum bagi menghadapi deadline. Saya tidak bersedia dan akhirnya saya menjadi 'hamba' masa. Sedangkan saya boleh memilih menjadi 'raja' kepada masa.

BERSEDIA MENGOPTIMUMKAN HASIL
"Anda katakan yang anda berminat dengan biasiswa doktor falsafah ini. Jadi, boleh anda jelaskan tentang kertas kerja yang telah anda tulis dan bentangkan?" soal salah seorang penemuduga pengajian sarjana sebuah agensi kerajaan.

Bagi yang bersedia, maka kemahuan dan minat dibuktikan dengan kebolehan dan usaha.

Namun, bagi yang tidak bersedia, minat dan kemahuan hanya tinggal minat dan kemahuan semata-mata.

Nyata, yang benar-benar berjaya adalah yang bersedia.

Bahkan, bagi yang memburu kejayaan di akhirat juga adalah yang benar-benar bersedia di dunia.

Ayuh jadilah orang yang benar-benar bersedia dan genggamlah kejayaan kerana tiada ruang vakum di antara bersedia dan lewa!

Saturday, April 18, 2009

DETERMINATION


Keputusan yang sukar
“Wah..Izzuddeen dah minum susu formula ke?” sahabat saya menyapa lembut sambil dia memegang bahu saya. Kebetulan sahabat saya ini nampak kotak susu Anmum dalam beg plastik di tangan saya. “Erm.. dah kena campur lah akak” saya menjawab jujur. Waktu itu umur Izz sudah 9 bulan lebih.
Sebenarnya itu adalah keputusan yang sangat sukar yang terpaksa saya hadapi. Iaitu memberikan Izz susu formula. Bagi saya yang terbaik tetaplah susu ibu. Dan semenjak Izz dalam kandungan lagi saya bertekad untuk memberikannya susu ibu.
Saya sangat berterima kasih pada Dr Nik Rose, pakar kanak-kanak PRIAZ yang telah memberikan tunjuk ajar tentang menyusukan bayi dengan penuh komited. Sehinggalah saya akhirnya berjaya menyusukan Izz pada hari ke-4 kelahirannya. Itupun setelah pelbagai cabaran berjaya kami tempuhi.

Susuibu.com
Berdasarkan pembacaan dan perkongsian pengalaman, saya membuat keputusan untuk tetap memberikan Izz dengan susu ibu sekalipun setelah habis berpantang. Pada mulanya, saya menggunakan Medela Harmony manual yang saya beli di susuibu.com, Bangi. Selain itu, saya juga membeli pack mom’s little ones yang didalamnya terdapat 3 chillers (untuk mengekalkan susu pada suhu sejuk sebelum ia dimasukkan ke dalam fridge) dan juga 6 botol susu berserta penutup. Ini pelaburan yang sangat berbaloi. Saya sangat berpuas hati dengan sesi perkongsian bersama kaunselor laktasi di premis itu, Puan Kamariah. Saya bukan sahaja didedahkan dengan info baru tentang kebaikan susu ibu bahkan saya dibenarkan mencuba pump yang saya berkenan dan mempraktikkanya dengan tunjuk ajar. Salah satu salah anggap tentang susu ibu juga turut terungkai. Antaranya, kita sering mendengar tentang bayi yang menyusu ibu juga perlu diberikan air masak. Sedangkan bayi di bawah enam bulan memerlukan hanya semata-mata susu ibu bagi memenuhi keperluannya. Tidak lebih dan tidak kurang. Apa yang menarik ialah susu ibu yang diminum oleh bayi sebenarnya akan pergi ke organ-organ penting bayi dan membina lapisan perlindungan untuk organ-organ tersebut. Menurutnya, apabila bayi diberi minum air masak, maka air masak tersebut akan ‘wipe off’ lapisan yang telah ada itu. Dan ia telah ‘mendedahkan’ organ tersebut tanpa perlindungan. Selanjutnya, pada hari yang cuacanya panas, susu ibu mengandungi lebih banyak air. Sementara pada hari yang cuacanya sejuk, maka susu ibu mengandungi lebih banyak lemak. Ini bagi memastikan bayi tidak terjejas kerana cuaca yang dialaminya. Maka, air masak tidak diperlukan bagi bayi di bawah 6 bulan yang menyusu secara eksklusif.

Medela Harmony yang menggunakan two-suction phase ini mempunyai kelebihan dari aspek mobility, ringan, dapat memerah dengan cepat (jika supply susu banyak) dan mampu milik. Sayangnya, ia berfungsi secara manual. Dan up to certain point, saya penat menggunakannya. Saya berkira-kira untuk mencuba produk yang lain pula.

AMEDA
Setelah membuat sedikit research, akhirnya saya tidak mengambil masa yang lama untuk memilih Ameda Electric Dual Pump. Sekali lagi saya ke susuibu.com, kali ini saya ditemani Ateh, bakal ibu muda yang akan menimang cahayamata sulungnya bulan depan. Saya sekadar memantapkan info yang telah saya miliki dan akhirnya set ini saya bawa pulang dengan gembira dan rasa syukur. Kini sudah hampir sebulan saya menggunakan set yang baru ini. Apa yang boleh saya kongsikan ialah ia satu produk yang menjimatkan masa, berkesan kerana saya boleh personalized rhythm yang saya mahukan dan ia tidaklah terlalu berat untuk saya bawa ke sana sini. Komponen yang perlu dicuci juga lebih mudah diuruskan. Ia juga boleh beroperasi dengan kuasa bateri (jika saya beralasan susah nak dapatkan electric power supply). Yang paling penting, ia memenuhi apa yang saya perlukan. Alhamdulillah.

Berusaha
Namun, buat masa sekarang saya masih bekalkan Izz dengan susu perahan ibu pada kadar yang masih perlu diperbaiki. Ini kerana dari 5-6 botol yang Izz perlukan setiap hari, saya hanya bekalkannya 3 botol perahan susu ibu sahaja. Itu tidak termasuk yang saya tambah pada waktu rehat di sebelah petang (tapi bukanlah setiap hari). Jadi, pengasuhnya masih membancuh susu formula untuk menampung keperluan Izz. Sedihnya!

Determination
Untuk itu, saya akan terus berusaha. Buat masa ini saya memperbanyakkan makan tamar. Inilah petua yang saya amalkan sewaktu Ramadhan baru-baru ini. Dan, saya masih menunggu hasilnya. Bagi saya produk seperti Medela mahupun Ameda adalah pemudahcara, yang paling penting ialah determination seorang ibu yang mahukan hanya yang terbaik untuk bayinya. Setiap hari, ibu yang menyusukan bayinya dengan EBM (expressed breast milk) perlu membasuh sekurang-kurangnya lima biji botol, membersihkan komponen pam, mensteril dan mengeringkannya. Itu tidak termasuk kesungguhan membawa pam susu ke pejabat yang apabila ditambah dengan berat laptop dan sebagainya menyebabkan seseorang ibu berfikir dua tiga kali untuk mengendong beg ke pejabat setiap hari.

Namun setiap usaha itu ada ganjarannya. Ada pahalanya. Kerana setiap bayi itu ada haknya. Iaitu untuk disusukan dengan hanya yang terbaik untuknya.
Let’s cooporate Izz!

p/s: gambar di atas adalah sewaktu Izz menikmati EBM di dalam komuter.

Wednesday, April 15, 2009

Pagi Ramadhan itu

"Apa kata kita join kem on sistemik thinking Ramadhan ni?" sahabat baik saya, Along memberikan ideanya.

"Menarik tu. Seronok berprogram di bulan Ramadhan" saya membalas dan memberikan persetujuan.

Bagi saya, jika mak dan aki mengizinkan, maka saya akan menyertai beberapa orang sahabat dari IIUM ke Johor untuk sama-sama mengikuti kem ini. Sementelah pengajian undergrad saya sudah di penghujungnya, terasa program pengisian sebegini adalah sesuatu yang sangat sukar saya lepaskan.

Kami meghabiskan hampir seminggu di Kersani Training Center, alhamdulillah... pengisian harian di sebelah siang yang sungguh bermanfaat dan pengisian rohani di sebelah malam yang begitu menginsafkan.

Saya tidak berhasrat untuk memperincikan sistemik thinking di sini, namun saya sekadar berkongsi sebuah permainan fikir-zikir (jika boleh saya namakan begitu) dalam entry saya kali ini.

I
"Baiklah... apa yang ana nak antum buat sekarang ialah antum kena gerakkan bola ini dengan laju di sepanjang garisan yang telah ana tandakan ini. Tetapi ingat, titik tengah bola ini mestilah sentiasa selari dengan garis lurus ini" instructor kami, Fazrul memberikan arahannya pagi itu setelah kami menyelesaikan tugasan kami membaca Al Quran sebagaimana pagi sebelumnya.

Wakil setiap kumpulan melakukan sebagaimana yang diminta, nampak mudah tetapi tidak begitu pada hakikatnya. Kami teruja untuk tahu 'hikmah' di sebalik sesi ini.

II
Sebagaimana yang kita maklum, bola adalah berbentuk sfera. Sfera adalah antara bentuk-bentuk yang kita pelajari dalam Matematik selain dari segiempat, segitiga, trapezium, dan bulatan. Perbezaan antara sfera dan bulatan ialah sfera wujud dalam 3 dimensi sedang bulatan adalah dalam dua dimensi. Sfera juga mempunyai titik tengah yang mempastikannya di dalam keseimbangan. Jika kita mengambil contoh sebiji bola yang elok (diisi angin) maka di tengah-tengah bola itu adalah titik tengahnya. Jika kita menggerakkan bola dengan cepat dan dalam masa yang sama kita mahukan titik tengahnya selari dengan satu garis lurus. Maka ia sebenarnya adalah sesuatu yang cukup sukar. Ini kerana titik tengah bola itu tidak sentiasa berada selari dengan garis lurus itu.

III
Perkaitan sfera, titik tengah dan sebuah garis lurus ini boleh dikaitkan dengan kehidupan kita semua.

Titik tengah itu boleh diibaratkan sebagai asas Tawhid iaitu keyakinan, kepatuhan dan hubungan kita dengan Allah yang mesti kita pelihara agar kita sentiasa berada di dalam haq dan keseimbangan. Seruan mentauhidkan Allah merupakan perkara yang paling esensi dalam kehidupan kita sebagai Muslim dan ia perkara yang disampaikan setiap Nabi dan Rasul.


Garis Lurus itu pula dianalogikan sebagai Islam as our way of life, yang digambarkan dalam sabda Baginda SAW, bahawa mereka yang menuruti jalan yang lurus sahaja yang akan selamat. Sedang jalan-jalan lain yang bercabang dari siraat al mustaqiim itu menghalatujukan kesesatan dan kemurkaan Allah.


Menggerakkan bola secara laju di atas garis yang lurus dan dalam masa yang sama mahukan titik tengahnya berada selari dengan garis lurus itu adalah diibaratkan kehidupan ini yang sentiasa perlu dipastikan di selarikan dengan Islam sebagai cara hidup, perjalanan hidup ini tidak boleh dikuarantinkan dari realiti hidup bermasyarakat - hubungan sesama manusia. Dalam masa yang sama pelbagai pengaruh yang ada disekeliling kita dalam bersosial tadi merupakan cabaran untuk kita terus berada in a correct path.

IV
Saya terfikir adakah benar mereka yang berpendapat mereka itu berada selari dengan garis lurus sedang mereka tidak mahu melibatkan diri dalam memperbaki masyarakat dan memperkukuh institusi khaira ummah - amar ma’ruuf nahi munkar? Bagi saya, ia seolah-olah perbuatan mengredkan pelajar dengan gred A - tanpa mempastikan mereka menduduki imtihaan.

Penulis terfikir lagi bagi membantu memperbaiki masyarakat kita perlu mempastikan hubungan kita dengan Allah dipertingkatkan - dengannya kita mampu menjadikan matlamat untuk menyampaikan dan meninggikan syiar Islam itu terlaksana, in syaAllah.


Perkaitan di antara ketiga-tiga ini merupakan sesuatu yang tidak mudah namun bukan pula mustahil. Kesilapan yang mungkin kita lakukan ialah dengan tidak menyeimbangkan di antara ketiga-tiganya.

Mudah-mudahan ada manfaatnya.

Monday, April 13, 2009

Perihal Ashaabul Ukhduud



"Baba, bolehkah jiwa pemuda-pemudi dibangunkan dengan rentak lagu macam ni?" saya membangkitkan soalan ketika mana kami sama-sama menonton video klip "satu suara" yang mempamerkan gelagat muda-mudi yang menyanyi sambil menari-nari dan terlompat-lompat. Namun, dalam masa yang sama mereka cuba memberi kefahaman kepada penonton yang mereka membawa agenda pemuda-pemudi Malaysia yang tahu jati diri, tahu yang mana baik dan buruk dan tahu pula memanfaatkan masa muda mereka. Jiwa rasional saya menolaknya mentah-mentah. Suami saya menghirup teh tarik yang saya sediakan istimewa untuknya perlahan-lahan, dia hanya tersenyum dan memberi isyarat akan memberi respondnya pada ketika yang lain. Saya tiba-tiba teringat tentang satu pengisian kuliah ilmu yang pernah saya hadiri tentang remaja.

I
Untuk itu, saya kongsikan sedikit coretan nota kuliah ilmu yang saya pernah hadiri semasa undergrad di UIAM. Kuliah yang dianjurkan oleh QYC ini amat memberikan manfaat buat saya. Saya mengeditnya supaya sesuai dengan mood blog saya ini. Moga ada manfaatnya.

II
Entry kali ini mengambil ‘ibrah dari kisah Ashaabul Ukhdud, sebuah kisah dari Al Quran, yg sesungguhnya Al Quran merupakan sebaik-baik kitab yg memberi petunjuk dan tiada padanya keraguan.

Al-Quran menyebut kisah ini secara tidak langsung di dalam Surah Al-Buruj bermula ayat yang ke-4. Namun ia diterangkan secara terperinci di dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Kisah seorang budak diberikan biasiswa oleh raja yang zalim untuk mempelajari ilmu sihir namun dia dalam masa yang sama turut mempelajari ilmu tauhid dan aqidah yang sahih. Kemudiannya, dia meningkat dewasa sebagai penentang kepada raja yang zalim. Sekalipun akhirnya dia mati di tangan raja tersebut, perjuangannya diterima oleh rakyat jelata yang seterusnya beriman kepada Allah SWT. Di sinilah berlakunya perstiwa parit berapi.

Kisah ini mencatat satu pengajaran yg sangat berma’na bagi org-org yg mahu mengambil pengajaran darinya.

Ingatlah, bahawa dalam kisah ini, Al Quran tidak menyebut secara khusus akan tarikh, tempat dan masa peristiwa penting ini berlaku. Kenapakah agaknya? kerana kita perlu mengambil pengajaran dari ketidakterbatasan masa menerusi kisah itu - ia melewati masa dahulu, sekarang dan akan datang.
‘Ibrahnya - pertentangan dan perjuangan, jihad dan pengorbanan, kemenangan dan kekalahan, syahid atau hidup mulia : semuanya akan terus berlangsung sehingga ke akhir hayat dunia ini. Ia mungkin berlaku ke atas diri kita sendiri dan mungkin kita jua di kalangan org-org yg memperjuangkan yg haq dan menentang kebatilan. Relevannya, sehingga ke hari ini, dan sehingga artikel ini ditulis sekalipun, dunia Islam menghadapi tentangan dari musuh Islam, aqidah umat Islam seolah-olahnya begitu murah apabila dengan mudah umat Islam yg lemah imannya menggadaikan hijabnya hanya kerana karier atau melupakan kewajipan solatnya apabila terlibat dalam PKN.. fikirkanlah…

III
‘Ibrah yg kedua - ialah bagaimana dalam kisah itu, pemuda yg disebutkan itu berada di dua persimpangan - satu menyeru kepada kejahatan (belajar ilmu sihir) dan satu menyeru kepada kebaikan (belajar utk mengenal Allah SWT dan beriman kepadaNya).
Inilah realiti yg masih tak kunjung padam hinggalah ke hari ini - cuma kedua-dua bentuk ujian itu wujud dalam bentuk yg lebih moden dan “updated”. Kenapa saya berkata begitu? Jawapannya - setiap hari kita dihidangkan dengan seribu satu macam bentuk hiburan dan agenda yg melalaikan - secara sedar ataupun tidak, secara direct atau indirect, secara maya ataupun “live”.
On the other hand, kita juga sebenarnya boleh memperolehi ilmu dan pengajaran yg bermanfaat jika kita BERUSAHA untuk mendapatkannya. Kedua-dua unsur-unsur ini (kebaikan dan kema’siatan) tidak boleh bersama laksana air dan minyak.
Maka, tanggungjawab kita adalah - utk memahami satu situasi di mana Islam dengan cahaya kebenarannya mahu kita bersama dengannya, dan dalam masa yg sama musuh Islam dengan gelap pekat ideologi yg merosakkan juga mahu kita bersama mereka. Kedua-duanya mahukan kita… oleh itu, wahai syabab dan fatayaatal mu’minin… jangan biarkan diri kita menyesal di hari yg tiada lagi manfaat segala bentuk penyesalan…

IV
‘Ibrah yang ketiga - keimanan kita kepada Allah SWT pasti akan diuji- begitulah, kita sendiri cthnya sewaktu di alam kampus - diiktiraf pengajian kita apabila kita berjaya dalam imtihaan. Tiada org yg dikatakan berjaya jika dia tdk pernah diuji, sohih?
Kecekalan dan kekuatan aqidah pemuda itulah - yg sepatutnya kita ambil ‘ibrah daripadanya. Jadilah insan yg tegar utk menerima dan melalui ujian di dunia ini. Ketahuilah, kehidupan di dunia ini merupakan satu ujian. Dan beruntunglah org-org yang dapat melakukan amal yg terbaik!


Thursday, April 9, 2009

Si Hitam yang Berjasa

Kami mempunyai dua si hitam. Satu sebelum kami berkeluarga dan satu lagi setelah hampir tiga tahun kami berkeluarga. Ya, si hitam yang pertama tentulah telah sangat berbakti terutamanya sewaktu kami mula-mula struggle dahulu. Seingat saya jarang sekali si hitam pertama ini menimbulkan masalah sekalipun selalu bekerja beyond the suggested capacity.

Sebenarnya, telah lebih sebulan si hitam pertama ini di bengkel. Disebabkan ia mengalami kerosakan yang teruk, maka kos membaikpulih sangatlah besar dan akhirnya kami sedikit bertangguh membaikinya. Alhamdulillah, pada 6/4/09, kami telah mengambil semula si hitam pertama ini yang telah sekian lama berjemur di bengkel. Saya menepuk-nepuk steering si hitam pertama ini…"Wah…kotornya kamu si hitam, tapi kamu tetap seperti dulu, cekap dan understanding” kata saya sambil memacu laju si hitam pertama ini.

Si hitam pertama ini hakikatnya layak mendapat rebat jika diganti dengan kereta nasional baru, tentu anda boleh mengagak umurnya. Tetapi, disebabkan hutang berbaki kurang daripada RM600 (maklum sahaja si hitam ini dibeli dari Aki sebenarnya. Maka, pembayarannya sangat fleksibel) oleh itu, saya mungkin akan terus menggunakan khidmatnya. Bak kata orang, malas nak ada hutang baru.

Dan saya tahu betapa susahnya sewaktu si hitam pertama ini rosak baru-baru ini. Saya terpaksa meminjam kereta kawan-kawan, menumpang kawan-kawan bahkan menaiki kereta sapu. Ooohh.... si hitamku telah kembali. Alhamdulillah. Thanks baba.

Tuesday, April 7, 2009

Spagetti Ala Mama

"Wah, banyaknya mama beli barang-barang. Betul ke mama nak masak spagetti ni?" hubby saya menanyakan soalan itu tatkala saya menyorongkan troli sewaktu membeli barang-barang dapur baru-baru ini. Saya hanya tersenyum, tapi saya faham kenapa hubby bertanyakan soalan itu.
Masakan tidak, saya jarang memasak yang berat-berat, lazimnya saya menyediakan sarapan dan makan malam seringkas mungkin. Itupun ikut mood dan kesempatan juga. Tambahan pula, hubby hanya gemarkan makanan yang ringkas sahaja pada waktu malam, memandangkan hubby sering pulang ketika isya' dan makanan yang ringan-ringan lebih sesuai pada waktu-waktu begitu.
"Bahan-bahan dah dibeli, tapi tak pernah masak ni. So, kenalah tanya orang" hati saya berbisik di suatu petang Isnin tentang menu makan malam yang saya akan sediakan ini. Spagetti. Mungkin disebabkan saya ni orang kampung, maka makanan yang berasal dari Itali ini saya tak pernah masak sekalipun dalam hidup saya. Tapi, saya dan hubby sukakan rasanya. Memandangkan kami tidak lagi mengunjungi pi**a h*t disebabkan isu BOIKOT, maka saya mesti cuba memasaknya. Saya sengaja memilih tidak menggunakan kuah sedia digunakan seperti PREGO, saja mahu mengubahsuai rasa mengikut citarasa orang Pahang lah katakan....
Setelah menidurkan Izz yang soleh, saya pun memulakan percubaan pertama saya. Kata orang 'air tangan' yang disertai dengan kasih sayang pasti akan menghasilkan rasa yang enak bukan sahaja pada lidah malah pada hati. Jadi, saya pun memasaklah dengan kasih sayang dan inilah hasilnya....

Mengikut putaran jam: spagetti, honey dew, daun sup (masak spagetti bubuh daun sup ke? hehe) dan kuahnya. Imej tidak jelas disebabkan lampu depan yang berkerawang tu asyik terbakar. Dan abaikan tangan yang memegang honey dew ok.
Mengikut pakar rasa yang selalu membuat komen dan penilaian, Acu kata best dah hehe... Manakala hubby pula bagi 4.9 daripada 5.0 sebab kurang pedas. Memang pun. Rasanya kurang pedas sebab saya tak tumbuk lada hitam, malas wat bising sebab takut tidur Izz terganggu. Ala kulli hal, saya puas hati dengan percubaan saya ini. Maka, bagi yang berminat bolehlah ubah suai bahan-bahan yang digunakan di bawah ye. Selamat mencuba!
Bahan tumis:
Bawang besar 1 biji (potong dadu)
Lada Benggala hjau 1 biji (dipotong dadu - saya pilih hijau sebab nak variasikan warna)
Puri tomato (yang ni saya beli ready made saja)

Bahan-bahan tambahan:
Daging kisar (saya ni loyal consumer produk Ramly)
Tomato 2 biji (sebab puri tomato tu saya isi sikit sahaja)
Lobak 1 biji (potong dadu)

Kacang merah dalam puri tomato Kimball (secukup rasa)
Garam halalgel
Gula
Daun sup (ni sebab saya suka)
Minyak masak (lagi bagus jika guna minyak zaitun)

Cara-cara:

Tumiskan bawang sampai wangi, kemudian masukkan puri tomato sampai naik minyak. Masukkan lada benggala. Kemudian masukkan lobak. Kemudian masukkan daging kisar. Tunggu sampai daging betul-betul empuk@masak dengan cara menambahkan air secukupnya. Saya tunggu dalam setengah jam untuk bagi daging ni betul-betul empuk. Masukkan kacang merah dalam tin. Kemudian masukkan garam dan gula. Selaraskan rasa. Akhir sekali masukkan tomato. Semasa diihidangkan, taburkan daun sup.


Setelah merasai kesedapannya, saya berhasrat untuk terus mencuba menu yang lain juga. Betul kata hubby, makan di rumah memang jauh lebih sedap berbanding di kedai. Ni yang semangat ni :) .

Friday, April 3, 2009

Mudah-mudahan Allah mengangkat darjatmu, Aisyah

Pagi ini saya memulakan rutin seperti biasa. Bezanya saya rasa sedikit terganggu dengan mimpi yang kerap berulang-ulang baru-baru ini. Saya cuba mempositifkan mimpi saya itu. Hubby saya juga menasihatkan agar menganggapnya sebagai mainan tidur sahaja. Saya cuba walau ada rasa tidak tenteram di jiwa saya. Astaghfirullah...
Ketika saya menyiapkan sedikit tugasan, saya menerima sms dari sahabat baik saya, Rina dari Pahang. Dengan nada smsnys "semoga sahabat semua tabahkan hati menerima sms ini...", deria saya menghidu khabar kurang enak. Nampaknya tekaan saya benar. Sahabat saya, Aisyah kehilangan suaminya pada malam yang sama di mana dia melahirkan zuriat sulungnya. Bahkan, ibu dan bapa mertuanya turut terkorban dalam kemalangan di Kerambit, Jerantut itu. Perlahan saya mengucapkan kalimah Innalillah wa inna ilaihi raaji'uun. Ada nada getar dalam lafaz itu. Saya sedih. Sungguh.
Saya forwardkan sms itu kepada sahabat-sahabat saya yang lain yang turut mengenali Aisyah... kepada along, angah, akmal, kak zid, hubby dan kak anavilin. Saya mohon mereka doakan kesejahteraan arwah dan kesihatan Aisyah juga. Dan, saya memohon pembaca entry ini juga turut mendoakan perkara yang sama.
Al Faatihah.
Kadang-kadang aku tidak tahu erti mimpiku sehingga ia diterjemahkan sebagai realiti. Aisyah, tabahkan hatimu sahabatku.

Wednesday, April 1, 2009

Dari Chenor ke PJ

"Mak dan aki doakan sa'diah berjaya, jaga adab dan ingat Allah selalu"

"In syaAllah" saya menjawab.
Itulah kali pertama saya hidup sendirian dan berjauhan dengan mak dan aki serta keluarga. Perasaan sedih terasa, namun kegembiraan lebih menguasai. Sekurang-kurangnya saya jelas dengan matlamat saya hadir ke sini. Dan saya masih punya dua orang kakak yang menuntut di kampus Lembah Kelang yang akan menengokkan saya. Bahkan lebih 10 orang exSMAC bersama-sama meneruskan perjuangan di sini.
Itu kisah 10 tahun yang lalu. Datang ke KL sendirian. Kini, saya telah bergelar isteri dan mama. Dulu maqam saya hanya sebagai anak, rupa-rupanya hijrah saya ini menjadi pemangkin penganugerahan dua makam yang lebih tinggi darjatnya.
Alhamdulillah. Kini saya dan suami sudah mempunyai penyejuk mata, penawar hati, Izzuddeen el Hakeem.

Dia adalah anugerah dan dia adalah amanah.