Monday, December 21, 2009

TERSENTUH



Saya menarik nafas yang dalam. Menyeka mata yang basah. Menafikan perasaan saya tatkala ini beerti menghukum fitrah keperempuanan saya.

Saya seorang muslimah, isteri dan juga ibu. Begitu juga dia, bahkan dia ibu kepada tiga cahayamata yang masih kecil. Cahayamata yang ketiga belum pun berusia sebulan.

Namun, ujian yang dilaluinya sangat besar sekali. Besar sekali.

Indahnya, dalam ujian itu dia masih memelihara maruah dan agamanya. Benar. Dia masih memelihara auratnya. Saya sangat mengaguminya dan memandang tinggi usaha suaminya.

Fikiran saya memutar ingatan ttg kisah di zaman Rasulullah SAW di mana ada seorang wanita kulit hitam yang menderita penyakit sawan. Tatkala dia terkena penyakit itu, maka dengan tidak sengaja akan tersingkap auratnya. Dan dia merasa bersalah kerana auratnya terdedah meskipun bukan dengan rela hatinya. Lantas, dia menghadapkan permasalahannya kepada Rasulullah SAW. Baginya, dia redha dengan ujian Allah itu, namun memohon agar didoakan agar auratnya dipelihara oleh Allah ketika dia diuji dengan penyakit yang datangnya tiba-tiba itu. Dan dia memohon agar Allah mengampunkan dosa tatkala auratnya tersingkap. Hatinya merintih andai auratnya yang dijaga rapi, tersingkap pada waktu penyakitnya datang. Sungguhpun, ada keringanan atas situasi yang uncontrollable, namun dia masih berusaha mengawalnya dengan doa dan usahanya. Betapa berharganya aurat seorang muslimah untuk dipelihara. Untuk dijaga sebaik-baiknya. Sewaktu unconscious apatah lagi sewaktu conscious. Beruntunglah bagi muslimah yang memiliki suami dan mahram yang memahami dan berusaha sebaiknya memelihara amanah aurat ini.

Saya cuma kenalan onlinenya. Saya saudara seaqidahnya. Saya tidak pernah bertemu pun dengannya. Saya juga tidak fikir untuk link blognya di sini. Namun, saya akan sentiasa mendoakan supaya dia sihat dan selamat.

"Kak Hany, semoga akak segera sembuh. Semoga akak akan sentiasa kuat. Ameen."

Thursday, December 3, 2009

BERITA GEMBIRA


Petang tadi saya ke Azzhara. Tekak saya sakit ditambah ada bengkak di pergelangan tangan kiri saya. Setelah di x ray, doktor Nurul berpendapat ia mungkin disebabkan tisu dan bukannya masalah tulang. Saya bakal dirujuk ke pakar ortopedik minggu hadapan in syaAllah. Untuk ketidakselesaan pada tekak saya pula, saya diberi ubat untuk dihisap. Dan saya berasa semakin sihat. Alhamdulillah. Ini intro entry saya sahaja. Jadi apa berita yang gembira itu?

Cerita sebenar saya adalah tentang suami saya.

Ya. Suami saya baru sahaja menerima tawaran menyambung pengajian peringkat sarjana dalam LLM Islamic Law di UIAM bermula bulan ini. Sebenarnya, sejak menamatkan Post Graduate Diploma in Syariah Legal Practice di UIAM pada 2006, suami saya telah memohon menyambung program sarjana di institusi yang sama. Namun, hampir tiga tahun menunggu, barulah surat tawaran yang diharapkan itu kunjung tiba juga akhirnya. Sepanjang 2006 -2009, ada tawaran dari UM yang turut diterima, namun dek kerana niche dan minat, suami saya sabar menunggu tawaran daripada UIAM juga (rujuk di sini). Dan, kesabaran suami saya berbaloi akhirnya. Saya berasa sangat bersyukur dan gembira. Alhamdulillah. Saya mendoakan kejayaan yang cemerlang untuk suami saya. Walaupun sibuk dengan kerjayanya dan urusan lainnya, suami saya tetap mendahului saya dalam hal-hal pengajian. Bahkan, sepanjang perkahwinan kami, sudah banyak certificates berjaya diperolehi terutama yang berkaitan nilai tambah prestasi kerjayanya. Terbaru, suami saya berjaya dalam temuduga pentauliahan amalan guaman di Pahang dan Selangor.
Itulah suami saya yang sangat saya cintai.
Beliau suami dan sifu saya.
Dan, guru saya yang utama tempat saya merujuk.

Perancangan awal mengemas kini "manba' ilm" (nama istimewa yang diberikan untuk bilik belajar kami yang bermaksud telaga ilmu) rupa-rupanya sangat tepat pada masanya. Bilik kecil yang bercat hijau dan kuning itu dilengkapi tiga buah meja belajar (termasuk satu untuk putera kami, Izzuddeen). Bilik ini pasti akan menjadi port bekerja dan belajar kami bertiga yang sangat selesa.

Selamat belajar untuk saya dan suami!
Juga untuk Izzuddeen yang sentiasa membelek buku-bukunya :)

Wednesday, November 25, 2009

MENGGENGGAM KEJAYAAN: SIRI III


STOP PROCRASTINATE!!! and JUST START IT!!!

Kalimah terbaik yang harus saya sematkan ke dalam diri saya hari ini.

Peringatan terbaik untuk mendisplinkan diri saya bagi mengenggam kejayaan yang diimpikan.

Kehidupan adalah tentang PILIHAN.

Mahu berjaya atau gagal.

Mahu senang atau susah.

Mahu memimpin atau dipimpin.

Mahu ke hadapan atau keciciran.

Mahu tersenyum atau menangis.

Mahu bahagia atau derita.

Pilihan di tangan saya.

Usaha juga di tangan saya.

Natijah di tangan Dia.

Berusahalah. Bertawakkallah.

Terima kasih PPP atas bengkel yang sangat bermakna.
Heartiest thanks to our respected facilitator, Prof Dr Mohd Amin Embi.

See me in Miri in 2010!!!

Monday, November 23, 2009

DIKAU ADALAH AMANAH




Izzuddeen el Hakeem ibn Ismanizam bakal genap lapan belas bulan Disember ini.
Terasa baru sahaja mama membelai mu sewaktu pulang dari wad sebaik melahirkanmu.
Allahu akbar!

Ya bunayy...
Semoga Allah menghidayahi dan membantu mama dan baba agar mampu mendidikmu sebaik mungkin.
Menjana potensimu semaksimum mungkin.
Mentarbiyyah dirimu agar berilmu dan berakhlaq.
Agar menjadi individu yang hebat.

Ya bunayy...
Mama dan baba mendoakan agar dirimu akan memperoleh yang terbaik.
Agar dilapangkan jalan menuju yang terbaik.
Dan dipermudahkan hanya untuk yang terbaik.

Anakku..
Suluh kehidupan adalah ilmu.
Benteng kehidupan adalah iman.
Bekal kehidupan adalah taqwa.
Hiasan kehidupan adalah akhlaq yang mulia.
Matlamat kehidupan adalah KEJAYAAN..
Sedang kehidupan adalah UJIAN..

Ya bunayy...
Mama dan baba mencintaimu!
Semoga mama dan baba akan dapat menemukan dirimu dengan guru-guru yang hebat untukmu.
Mudah-mudahan.
Ameen.

Firman Allah:

"dan berjayalah mereka dalam ujian ini iaitu mereka yang melaksanakan sebaik-baik (ahsana) amalan" Al mulk: 2

Wednesday, November 18, 2009

JADILAH PEMBENTUK SEJARAH!

Saya baru sahaja menamatkan kuliah petang tadi. Dua jam di dalam auditorium membuatkan saya berasa ingin berehat.

Saya mengharapkan agar dalam memanfaatkan masa berbaki sebelum pulang ini saya menemukan bacaan yang bermanfaat untuk saya.

Saya singgah ke blog ini. Yang saya klik hanya melalui link sahabat saya semasa di IIUM. Tuan empunya sebenar tidak saya kenali.

Namun, peribadi yang dikupas dalam blognya sudah lama saya kagumi. Ya. Sejak saya menjadi pencinta sejarah.

Saya sangat menghargainya. Beliau menjadi salah seorang yang 'mencipta' sejarah. Seorang yang membuka Kota Konstantinopel. Yang terkenal dek keimanan dan ketaqwaannya. Dan kerana kejayaannya membenarkan sabda Junjungan Rasulullah SAW. Alangkah hebatnya!

Ada getar dalam diri saya. Jauh sekali untuk meneladaninya. Namun, berdoa agar momentum itu sentiasa berada dalam magnitud yang sewajarnya dalam diri saya.

"JADILAH SEORANG YANG MENCIPTA SEJARAH. BUKAN SEKADAR MENGIKUT RENTAK SEJARAH"
Mudah-mudahan.
Teruskan usahamu, Sa'diah.
Disember bakal menjelang.
Dan saatnya bakal tiba.
BUKTIKAN!

source pic

Thursday, October 29, 2009

NI'MAT SIHAT


Isnin malam saya demam. Suami saya kata badan saya panas. Saya bangun solat dan makan ubat. Lalu, tertidur kembali.

Keesokannya, saya rasa sihat. Langsung bersiap dan ke kelas jam 8 pagi.
Usai kelas, saya membeli sarapan. Namun, terasa mahu pitam di pertengahan jalan. Alhamdulillah, kaki saya sempat menapak ke bilik rehat staff. Kawan-kawan risau melihatkan saya. Ada juga yang berspekulasi. Saya tersenyum sahaja. Sungguh saya tidak larat. Saya berehat di situ.

Setelah mengumpul tenaga, saya memanjat tangga menuju ke bilik saya di tingkat dua. Alhamdulillah, saya kembali menyambung rehat sambil menunggu si suami untuk menghantar saya ke Azzahra.

Selepas pemeriksaan, doktor mengatakan suhu badan saya tinggi manakala tekanan darah saya rendah. Mungkin sebab stress atau mungkin juga disebabkan kurang tidur. Saya akui saya kurang tidur akhir-akhir ini, tetapi tidaklah sehingga menyebabkan saya stress. Lalu, saya diberikan cuti rehat esok harinya. Doktor mencadangkan saya berehat di sick bay bahagian belakang GF dan dimasukkan air. Saya mohon untuk solat terlebih dahulu.

Selesai solat saya kembali ke sick bay. "Puan, proses ni ambil masa dalam 1 jam setengah. Puan berehatlah ye" jururawat bertugas memaklumkan sebaik sahaja beliau selesai memasukkan jarum ke urat tangan saya. Saya memandang botol air yang tergantung. "Ohh..banyaknya air itu.." lantas saya memejamkan mata. Hanya tidur sahaja dapat membendung perasaan saya yang tiba-tiba sayu. Saya sedih kerana biasanya apabila saya demam atau sakit, saya hanya perlu makan ubat. Tetapi kali ini, sehingga perlu dimasukkan air. Terasa sungguh ni'mat sihat yang tidak saya syukuri selama ini.

Sebaik saja saya tersedar, jururawat telahpun bersedia untuk mengambil bacaan tekanan darah saya semula. "Alhamdulillah...leganya." Saya gembira benar melihat botol yang tadinya hampir penuh kini telahpun kosong.

"Bacaan tekanan darah puan normal, cuma masih lowish. Maksudnya, masih rendah. Puan masih pening?" Dr Ikmal bersungguh-sungguh mengambil bacaan tekanan darah saya. Berkali-kali. Sungguh dia tidak puas hati mungkin. Saya diarahkan berehat lagi. Di tempat yang sama. Saya menurut sahaja.

Hanya selepas Dr berpuas hati dengan jawapan-jawapan saya, maka saya dibenarkan pulang ke rumah. Saya lega sungguh. Alhamdulillah.

Terasa sayu tatkala saya solat menunaikan maghrib di Tingkat 3 Azzahra.
Terkenangkan ni'mat sihat yang diambil sekejap saja oleh Dia sebentar tadi.

"Jadikanlah daku di kalangan hamba-hambaMu yang bersyukur"

p/s: Pic saya semasa di sick bay. Waktu itu Izz belum datang memanjat katil saya. :)